Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa sedih apabila tidak dapat bersama keluarganya untuk meraikan kelahiran cucu baharu, iaitu bayi kepada anak lelakinya, Ashman.
Dalam hantaran di Facebook, beliau juga berasa sebak apabila tidak dapat menghadirkan diri ke majlis perkahwinan Ashman dan isterinya Nikola pada Disember 2023.
“Meraikan kedatangan Ardan, kelahiran Ashman dan Nikola.
“Anak saya kahwin. Saya tidak dapat hadir. Saya dapat cucu baru, saya tak dapat bersama. Mata berair bila mendengarnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berasa gembira dengan kehadiran cucu baharu itu dan kekal tabah untuk meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Instagram Ashman, beliau meluahkan rasa syukur dengan kelahiran anak pertamanya dan turut berkongsikan beberapa keping gambar.
“Nama saya Ardan Razak Nor Ashman. Insya-Allah saya akan mengisi dunia ini dengan penuh kasih sayang dan kebaikan,” tulisnya.








