Gajah mengamuk di festival India, 25 cedera | The Reporter

Gajah mengamuk di festival India, 25 cedera

Gajah mengamuk di festival India

Seorang lelaki cedera parah manakala sekurang-kurangnya 25 orang lagi dilaporkan cedera apabila seekor gajah mengamuk dalam sebuah festival di Kerala, India.

Insiden itu mencetuskan kekecohan apabila haiwan besar tersebut menyerang orang ramai, malah satu rakaman video memaparkan detik-detik mendebarkan gajah itu mencampak seorang lelaki seperti anak patung.

Gajah yang dihias dengan perhiasan kepala dan gelang di kaki pada mulanya berada di tengah-tengah orang ramai. Namun, suasana bertukar cemas apabila gajah tersebut bertindak agresif, menanduk dua lelaki sebelum mengangkat salah seorang daripada mereka menggunakan belalainya.

Lelaki itu dihayun-hayunkan di udara selama beberapa saat sebelum dicampak dengan kasar ke tanah. Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh beberapa orang yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang individu yang menunggang gajah tersebut hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa. Beberapa lelaki lain turut cuba mengawal haiwan itu dari arah belakang, namun gajah itu akhirnya diam selepas orang ramai bersurai dalam ketakutan.

Kejadian ini mengingatkan kembali insiden lain di India beberapa bulan lalu, apabila seekor gajah mengamuk dan menyerang kenderaan, termasuk memusnahkan sebuah bas. Insiden-insiden ini mencetuskan persoalan mengenai penggunaan haiwan liar seperti gajah dalam acara hiburan yang melibatkan orang ramai. – Agensi

Related Posts