'Tindakan tegas ke atas individu hadir perhimpunan solidariti Najib' - Polis | The Reporter

‘Tindakan tegas ke atas individu hadir perhimpunan solidariti Najib’ – Polis

Sumber Gambar: Bernama

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyertai Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, memaklumkan bahawa himpunan tersebut tidak mendapat kebenaran pemilik tanah dan tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Mana-mana individu yang menyertai himpunan ini akan dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang,” katanya.

Tambahnya, polis juga akan mendirikan sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke Putrajaya. Pemeriksaan ketat akan dilakukan untuk memastikan tiada senjata, sepanduk dengan perkataan jelik, atau unsur hasutan dibawa masuk.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya menerima permohonan penganjuran tersebut yang dihantar pada 31 Disember, namun telah ditolak selepas semakan mendapati permohonan berkenaan tidak lengkap.

Penolakan tersebut ujarnya telah dimaklumkan kepada penganjur pada Jumaat lepas.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts