Seorang lelaki dari Louisville, Kentucky, telah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat terhadap anak lelakinya yang berusia sebulan. Dalam insiden yang berlaku pada Mei 2019, apabila Anthony Trice, 32, bertindak memukul bayinya kerana marah selepas kalah dalam permainan video.
Menurut laporan Louisville Courier Journal dan WDRB, Trice ketika itu berada di rumah seorang diri bersama bayinya. Ketika bermain permainan video, dia menjadi marah dan melempar alat kawalan permainan sebelum memukul anaknya dengan tangan.
Dia kemudian cuba menenangkan bayi itu dengan mendukungnya tetapi secara tidak sengaja terjatuhkan anaknya ketika berjalan ke dapur untuk menyediakan susu.
Polis melaporkan Trice meninggalkan anaknya dalam keadaan duduk sebelum pergi ke bilik air. Apabila kembali, dia mendapati bayi tersebut dalam keadaan kritikal. Trice segera menghubungi talian kecemasan 911.

Pada keesokan harinya, Trice ditahan atas tuduhan penderaan kanak-kanak tahap pertama. Namun, bayi malang itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Tuduhan terhadap Trice kemudian diklasifikasikan semula kepada tuduhan membunuh, tetapi Trice mengaku tidak bersalah.
Bagaimanapun, Trice kemudian menukar pengakuannya kepada bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat. Dalam prosiding mahkamah di Jefferson Circuit Court pada 19 Disember lalu, Trice dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun. – Agensi








