Seorang penyanyi wanita popular dari Kelantan yang ditahan di Penjara Narathiwat, Thailand, mendedahkan keluarganya tidak mampu menanggung kos guaman yang dianggarkan mencecah lebih RM1 juta (10 juta baht) bagi setiap peguam.
Penyanyi berusia 29 tahun itu berkata dua peguam Thailand telah menawarkan khidmat guaman untuk kesnya, namun keluarganya terpaksa menolak tawaran tersebut.
“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa dua peguam dari sini menawarkan khidmat mereka untuk kes saya, tetapi setiap seorang meminta bayaran 10 juta baht. Keluarga saya tidak mampu membayarnya,” katanya.
Penyanyi tersebut, yang terkenal dengan lagu ‘Cinta Setandan Pisang’ atau ‘Bea Soba Bea’, berkata keluarganya kini sedang mempertimbangkan untuk mengupah peguam lain dan sedang berusaha mengumpul dana.
Nafi jual tanah, rumah
Sebelum ini, laporan media menyebut keluarganya mungkin menjual tanah dan rumah bagi menampung kos guaman. Namun, ahli keluarga penyanyi itu menafikan dakwaan tersebut.
“Kami tiada rancangan untuk menjual harta bagi membayar kos guaman. Buat masa ini, kami hanya berdoa agar kes ini dipermudahkan,” kata jurucakap keluarga.
Menurut mereka, kos guaman yang tinggi membuatkan keluarga mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.
Sumber: Harian Metro








