Syarikat insurans catat keuntungan berbilion, tak wajar naikkan premium hingga 70% - Lim Guan Eng | The Reporter

Syarikat insurans catat keuntungan berbilion, tak wajar naikkan premium hingga 70% – Lim Guan Eng

kenaikan premium insurans

Baru-baru ini media melaporkan insurans perubatan akan dinaikkan sebanyak 40 hingga 70 peratus pada tahun 2025, menimbulkan keresahan orang ramai yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. Cadangan ini dianggap sebagai satu beban tambahan kepada rakyat, terutamanya apabila kos perubatan hanya dijangka meningkat sebanyak 15 peratus.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menolak kenaikan premium tersebut yang disifatkannya tidak wajar.

Menurut beliau, BNM perlu menunjukkan empati terhadap rakyat dan mengutamakan kebajikan 31 juta penduduk negara ini berbanding keuntungan 16 syarikat insurans hayat dan takaful.

“Kenaikan ini sangat tidak adil. Mengapa premium insurans meningkat jauh lebih tinggi daripada kos perubatan kasar?” soal Guan Eng. Beliau turut menekankan bahawa kegagalan kawalan kos perubatan oleh pihak industri menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban.

Kajian menunjukkan, pesakit yang menggunakan Surat Jaminan (GL) dikenakan kos rawatan jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, kos rawatan denggi dengan GL adalah RM4,978, empat kali ganda lebih tinggi berbanding RM1,288 bagi pesakit yang membayar dahulu.

Guan Eng turut mempersoalkan kewajaran kenaikan ini apabila syarikat insurans mencatatkan keuntungan besar. Berdasarkan data Bank Negara, keuntungan keseluruhan dana insurans hayat dan takaful keluarga meningkat kepada RM8.4 bilion pada separuh pertama 2024, berbanding RM3.2 bilion pada separuh kedua 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menyatakan bahawa BNM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti panduan untuk memastikan kenaikan premium tidak membebankan rakyat. Bagaimanapun, Guan Eng menegaskan tindakan tegas diperlukan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepada ketamakan pihak tertentu.

Sumber: Harian Metro

Related Posts