Lelaki pertikai kepentingan ujian titi selepas anaknya gagal ujian lesen motosikal? | The Reporter

Lelaki pertikai kepentingan ujian titi selepas anaknya gagal ujian lesen motosikal?

lelaki pertikai kepentingan ujian titi
Gambar hiasan | Sumber: Metro Driving School

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ujian menunggang motosikal di atas titi merupakan salah satu syarat penting dalam mendapatkan lesen motosikal di Malaysia. Ia bertujuan melatih calon pemandu untuk mengimbangi motosikal pada kelajuan rendah, namun, tidak semua pihak melihat kepentingan ujian ini, malah ada yang meremehkannya.

Seorang pengguna Facebook, berkongsi pengalaman anak perempuannya yang gagal ujian titi ketika menjalani ujian lesen motosikal baru-baru ini.

Menurutnya, ujian ini dianggap tidak relevan kerana jarang sekali situasi di atas titi sempit berlaku dalam kehidupan sebenar.

“Saya sendiri dah lebih 30 tahun menunggang pelbagai jenis motosikal, tapi tak pernah perlu menyeberangi titi sempit seperti itu,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Bagaimanapun, pandangan ini mendapat kritikan hebat daripada pengguna media sosial lain, termasuk tokoh automotif terkenal, Hezeri Samsuri.

Dalam satu ciapan di X, beliau menegaskan kemahiran mengimbangi motosikal pada kelajuan rendah sangat penting.

“Susah kalau kita anggap semua benda gomen buat ni sampah. Keupayaan untuk mengimbangi motosikal pada kelajuan rendah adalah sangat penting. Mungkin anda fikir semua ujian ini hanya gurauan?” katanya.

Selain itu, netizen lain juga turut mempertahankan kepentingan ujian ini bukan sekadar formaliti, tetapi membantu mengasah kemahiran penting yang diperlukan semasa berhadapan dengan pelbagai cabaran di jalan raya.

Ada juga yang berpendapat bahawa kegagalan dalam ujian ini mencerminkan kurangnya kemahiran asas menunggang motosikal, sekali gus membuktikan calon belum bersedia untuk menunggang di jalan sebenar.

Related Posts