Pengeluaran minyak dan gas berkurangan di Semenanjung, Sabah & Sarawak kini jadi tumpuan - Rafizi | The Reporter

Pengeluaran minyak dan gas berkurangan di Semenanjung, Sabah & Sarawak kini jadi tumpuan – Rafizi

Pengeluaran minyak dan gas Sabah Sarawak
Gambar hiasan

Pengeluaran minyak dan gas di Semenanjung Malaysia menunjukkan penurunan ketara, namun penemuan sumber baharu lebih banyak dikesan di Sabah dan Sarawak, jelas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, sumber tersebut sebelum ini menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dan agihan pendapatan, tetapi kini lebih tertumpu di kedua-dua negeri berkenaan.

“Di sebelah Semenanjung, kita memang semakin kehabisan sumber minyak dan gas kira-kira 10 tahun lalu, dengan jumlah pengeluaran minyak kita ialah 700,000 tong sehari sebelum ini, dan sekarang dalam 350,000 tong sehari.

“Negara perlu melalui proses peralihan tenaga dengan segera dan dalam konteks itu kita kena ambil kira beberapa dasar yang perlu dilaksanakan kerajaan, termasuklah penyasaran semula subsidi,” katanya.

Tambah Rafizi, sumber minyak dan gas yang kini berada di Sabah dan Sarawak digunakan untuk memenuhi keperluan serta penggunaannya di negeri-negeri tersebut. Pada masa sama, kerajaan sedang mengkaji semula cara pengagihan pendapatan hasil sumber berkenaan.

“Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli,” katanya lagi.

Kekurangan sumber minyak dan gas di Semenanjung turut diakui Rafizi sebagai cabaran besar dalam menentukan agihan peruntukan yang adil ke seluruh negeri.

Sumber: Bernama

Related Posts