Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan perkataan ketimbang dan maha kaya dimasukkan ke dalam kamus talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Maha kaya merupakan salah satu perkataan baharu yang sering digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Fadhlina mengharapkan orang ramai agar dapat menerima bahawa perbendaharaan Bahasa Melayu terus hidup dan sedang berkembang.
Jelasnya juga, terdapat kosa kata Bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, namun kini sudah dianggap klasik.
“Contohnya, dahulu digunakan tetuang udara namun kini, radio. Dahulu perkataan ujana yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk taman. Ujana ilmu yang bermaksud taman ilmu, ujana buku yang bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.
“Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita.
“Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard. Proses penyerapan sesuatu bahasa ke dalam bahasa lain berlaku dalam semua bahasa di dunia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menjelaskan perkataan ketimbang membawa maksud kata daripada. Ketimbang juga perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Indonesia yang bererti menandai perbandingan.
Sumber: Berita Harian








