Beberapa hari lalu tular mengenai dakwaan seorang penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ditekap dengan seterika di bahagian dada.
Belum reda dengan isu berkenaan, seorang lagi penuntut di universiti tersebut juga dilaporkan telah dibuli sehingga mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian yang dilaporkan pada 21 Oktober itu berlaku sehari sebelum insiden penuntut yang ditekap seterika.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika kejadian, mangsa yang merupakan penuntut tahun satu sedang berada di tepi kawad setelah selesai sesi panggil nama.
“Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami,” katanya.
Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian








