Ibu teman lelaki minta wang dari teman wanita anak dengan alasan 'berkat', cetus perdebatan netizen | The Reporter

Ibu teman lelaki minta wang dari teman wanita anak dengan alasan ‘berkat’, cetus perdebatan netizen

ibu teman lelaki minta wang alasan berkat
Gambar Artificial Intelligence (A.I) untuk hiasan sahaja

Dalam sebuah perkongsian di Thread, seorang pengguna, DearBadie, mendedahkan pengalaman pelik apabila ibu teman lelakinya meminta wang daripadanya serta rakan-rakan anaknya dengan alasan ia akan membawa “berkat.”

Alasan untuk dapatkan berkat

Permintaan yang dianggap pelik ini dikatakan turut disertai dengan kisah sedih, seolah-olah untuk meraih simpati.

“Kamu rasa patut ke mak kepada teman lelaki minta duit daripada teman wanita anak dia dan juga daripada kawan anak dia dengan alasan untuk dapat berkat, kemudian guna kisah sedih supaya kami rasa simpati padanya,” tulisnya.

Menguatkan lagi dakwaan tersebut, DearBadie turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan ibu teman lelakinya meminta sumbangan wang dengan berkata, “Dapat gaji tak ada nak bagi mama RM50 ke, RM100 ke? Orang kata, ambil berkat bagi orang tua. Sedih mama ni kadang-kadang,” sambil menambah, “Tak banyak, seorang RM50 jadilah,” menunjukkan harapan agar mereka memberikan sejumlah tertentu.

Ramai pernah lalui situasi sama

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen, yang turut berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing berkenaan isu tersebut.

Seorang netizen, Mia Melly Mermaid, menceritakan pengalaman serupa di mana ibu bekas teman lelakinya pernah menghubunginya untuk meminjam kereta bagi urusan peribadi.

“Tidak pelik sebenarnya, sebab ibu bekas teman lelaki saya pernah menelefon dan meminta untuk meminjam kereta saya bagi mengambil anak perempuannya di negeri lain (jauh, tapi saya tidak ingat). Semasa menelefon, dia tiba-tiba bertanya, ‘Kereta Naza itu sudah diservis ke?’ Saya rasa pelik kenapa dia tanya tentang servis kereta saya. Saya jawab sudah, dan tanya kenapa. Barulah dia beritahu dia mahu pinjam kereta itu… saya jadi terkedu,” katanya.

Bersangka baik

Bagi Amilia pula, dia melihat perkara ini dari sudut positif dan beranggapan ia sekadar peringatan untuk bersedekah kepada orang tua.

“Bagi saya, saya berfikiran positif. Dia hanya mengingatkan kita untuk bersedekah kepada orang tua. Sebagai teman wanita, saya mungkin akan beritahu teman lelaki saya secara halus, mungkin dengan berkata, ‘Awak dah bagi duit kepada mama?’ Pada pandangan saya, perkara ini tidak kelihatan negatif seperti yang orang lain fikirkan,” ujarnya.

Namun, ada juga yang memberi amaran seperti Sakinah, yang menasihati supaya tidak terjerat dalam situasi sebegini kerana ia boleh membawa masalah di kemudian hari.

“Awak! Jangan beri dan tinggalkan saja teman lelaki awak tu. Saya ada kawan yang mengalami situasi serupa. Sebelum kahwin, dia selalu beri duit kepada ibu teman lelakinya (sekarang suami). Setiap kali jumpa, dia mesti hulur duit, hampir setiap bulan. Masa tu, dia ada banyak wang sebab baru bekerja sebagai jururawat.

“Lepas kahwin dan dah ada 3-4 orang anak, dia terpaksa berhenti beri duit sebab tanggungjawab semakin bertambah. Akibatnya, ibu mertuanya mula bercakap buruk tentang dia kepada ipar dan menantu lain. Suaminya pula hanya ikut cakap ibunya!” katanya.

Related Posts