Permohonan ikat jamin 6 warga Malaysia disyaki miliki dadah ditolak Mahkamah Narathiwat | The Reporter

Permohonan ikat jamin 6 warga Malaysia disyaki miliki dadah ditolak Mahkamah Narathiwat

Sumber Gambar: khaosod English

Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Mej. Pol. Hafit Mad-asin memaklumkan Mahkamah Narathiwat telah menolak permohonan ikat jamin bagi enam individu warga Malaysia termasuk penyanyi dikir barat dari Kelantan yang ditahan reman kerana disyaki memiliki dadah.

Menurutnya, kes yang melibatkan warga asing dengan jumlah dadah yang besar, tidak akan dibenarkan diikat jamin.

“Bagi siasatan melibatkan warga asing yang melibatkan jumlah dadah yang besar, mahkamah tidak akan membenarkan suspek-suspek diikat jamin kerana dikhuatiri mereka akan melarikan diri,” katanya.

Katanya lagi, dadah yang ditemukan di bilik hotel telah dihantar ke makmal Pusat Forensik Yala bagi tujuan ujian DNA.

“Kesemua dadah yang ditemukan di bilik hotel telah dihantar ke makmal Pusat Forensik di Yala untuk ujian DNA bagi mengenal pasti jenis dadah serta pemiliknya, sebelum diserahkan kepada kepada pendakwa raya untuk menentukan tarikh pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Kesemua suspek akan ditahan di Penjara Narathiwat selama 84 hari atau kira-kira tiga bulan sementara menunggu tarikh pendakwaan.

Terdahulu, enam warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun telah ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok sekitar jam 5 pagi, atas kesalahan memiliki dadah.

Mereka turut disiasat atas kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts