Kerajaan Kelantan tidak pernah menghalang pembukaan pawagam di negeri itu, namun pelbagai syarat ketat perlu dipenuhi oleh pengendali yang berminat untuk beroperasi.
Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Asri Mat Daud berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan beberapa syarikat yang ingin membuka pawagam dan akan meneliti syarat-syarat sedia ada sebelum membuat keputusan.
Asri menjelaskan, pimpinan terdahulu telah menyusun syarat-syarat tertentu yang wajib dipatuhi bagi memastikan operasi pawagam dapat dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Syarat-syarat yang ketat ini telah ditetapkan dan kepimpinan sebelum ini juga telah menyatakan bahawa pembukaan pawagam dibolehkan sekiranya syarat-syarat tersebut dipatuhi sepenuhnya,” katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Tambah beliau, pihaknya akan mengumumkan perkembangan terkini selepas mesyuarat kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung bagi membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri menetapkan beberapa syarat utama bagi pengendali pawagam yang ingin beroperasi di Kelantan, termasuk memastikan tayangan tidak dijalankan dalam suasana gelap sepenuhnya untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini.
Pengendali juga diingatkan agar menghormati waktu solat, khususnya Maghrib dan Isyak, memandangkan jarak masa kedua-dua waktu tersebut agak singkat.








