Mahathir cadang Sarawak bantu negeri lain, Abang Johari anggap tidak munasabah | The Reporter

Mahathir cadang Sarawak bantu negeri lain, Abang Johari anggap tidak munasabah

Mahathir cadang Sarawak bantu negeri lain

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar Sarawak, yang telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi, membantu negeri-negeri lain yang masih mundur.

Menurutnya, Sarawak sudah menjana pendapatan yang besar dengan belanjawannya mencecah RM11 bilion, berbanding Kedah yang hanya mempunyai bajet RM700 juta.

Dalam sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, Dr Mahathir berpendapat bahawa negeri yang lebih kaya perlu berkongsi kekayaan dengan negeri-negeri yang lebih miskin.

Bagaimanapun, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menyifatkan cadangan itu sebagai tidak munasabah. Beliau menjelaskan, tumpuan utama Sarawak kini adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat di negeri itu.

Abang Johari juga menegaskan, Sarawak tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain seperti Kedah kerana perbezaan saiz dan keadaan ekonomi.

“Saya terkejut selepas mengetahui cadangan itu. Sarawak hanyalah sebuah negeri dalam Malaysia, bukannya Persekutuan untuk membantu negeri lain.

“Ya, Sarawak sudah mencapai status negeri berpendapatan tinggi, tetapi banyak lagi keperluan rakyat kita di kampung yang belum selesai. Sebab itu, tumpuan Kerajaan Sarawak sekarang adalah untuk membangunkan rakyat kita sendiri, bukan rakyat di tempat lain,” katanya.

Tambah Abang Johari, kerajaan negeri perlu menanggung sendiri perbelanjaan untuk menaik taraf dan membina sekolah-sekolah usang di Sarawak.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan dalam membantu negeri-negeri miskin, bukannya meminta negeri kaya seperti Sarawak untuk melakukannya.

“Kerajaan Persekutuan mendapat banyak keuntungan hasil minyak. Petronas buat duit, dividen dan royalti diberi kepada Pusat, tetapi Sarawak hanya mendapat hasil daripada cukai jualan produk petroleum.

“Walaupun begitu, kita menguruskan ekonomi dengan baik, sebab itu kita mampu menjadi negeri berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Related Posts