Wanita kelahiran Pulau Pinang ini, Koh Lee Peng, pernah menempa nama dalam dunia sukan dan dikenali sebagai salah seorang atlet Paralimpik terkemuka Malaysia.
Bermula dari tahun 2001 hingga 2005, Koh mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN dan meraih kejayaan yang cemerlang, diiktiraf sebagai Olahragawati Paralimpik Terbaik Pulau Pinang 2015 dan Olahragawati Paralimpik Wanita 2016 2017.
Namun, tahun berganti tahun, zaman kegemilangannya perlahan-lahan pudar dan membawa kepada realiti hidup yang lebih sukar.

Jual tisu untuk menyara kehidupan
Setelah meninggalkan pekerjaan lamanya yang tidak mesra OKU, Koh kini menjual tisu dan kraf tangan untuk menyara kehidupannya.
Wartawan portal Weird Kaya yang kebetulan berada di lokasi, berkesempatan menemubual Koh untuk mengetahui perkembangan terkini bekas atlet paralimpik itu.
Sejak enam tahun lalu, Koh menyara kehidupannya dengan menjual tisu di ibu kota. Namun, pendapatan yang diperolehnya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan seperti sewa rumah dan bil telefon.
Sebelum ini, pelbagai organisasi kerajaan telah menawarkan bantuan kewangan kepadanya selepas bersara dari arena renang. Namun, Koh menolak semua bantuan tersebut.
“Saya mahu berdikari dan mendapatkan rezeki melalui usaha sendiri,” ujarnya yang tenang duduk di kerusi roda, dikelilingi dengan beg berisi tisu dan hasil kraf tangan.
Pendapatan tidak menentu
Sebelum ini kisah kehidupan Koh pernah tular di media sosial. Ketika itu, Koh memakai jersi Harimau Malaysia dan banyak mendapat perhatian netizen. Namun, kini kisahnya mungkin semakin dilupakan dan generasi baru mungkin tidak mengenali sosok yang pernah membanggakan negara di temasya sukan berprestij.
Dalam temu bual yang singkat itu, Koh turut mendedahkan, pendapatannya tidak menentu dan bergantung kepada cuaca.
“Pada hari-hari tertentu, saya mungkin duduk di sini dan tiada hasil yang diperolehi,” katanya dengan nada redha.
Walaupun kehidupannya penuh dengan cabaran, Koh berkata beliau bahagia meneruskan kerja tersebut selagi mampu kerana ia menjadi sumber pendapatan dengan hasil titik peluhnya sendiri.
“Tiada gunanya berpatah balik ke masa lalu. Kita perlu meneruskan hidup kerana kita semakin tua dan lemah setiap hari,” katanya.

Koh juga menyampai ucapan terima kasih kepada mereka yang membantunya dengan membeli tisu yang dijual dan berharap agar kebaikan mereka dibalas oleh Tuhan.
Walaupun semangatnya terhadap sukan renang tidak lagi seperti dahulu, Koh tetap menghargai pengalaman yang pernah dilaluinya. Beliau kini mahu fokus untuk terus bergerak ke hadapan dan menyambut hari-hari mendatang dengan harapan dan semangat.








