Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendedahkan sejumlah 7,270 pengguna di Kelantan mempunyai tunggakan bil air berjumlah RM4.6 juta bagi tempoh 2022 dan 2023.
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pengguna yang masih belum melunaskan hutang tersebut. Nama dan nombor akaun mereka akan diserahkan kepada peguam AKSB bagi tindakan lanjut.
Sebanyak 3,316 akaun pengguna telah dipotong pada tahun 2022 dengan jumlah tunggakan RM2.379 juta, manakala pada tahun 2023, jumlah tunggakan mencecah RM2.196 juta melibatkan 3,954 akaun yang masih belum dijelaskan.
Pada ketika ini, AKSB sedang berusaha menuntut semula hutang keseluruhan yang kini berjumlah RM4.5 juta daripada pengguna yang masih gagal menyelesaikan tunggakan bil mereka.
Pemotongan bekalan air juga akan dilakukan oleh Unit Penguatkuasaan AKSB terhadap akaun yang mempunyai tunggakan melebihi tiga bulan, dan pengguna diberikan masa 45 hari selepas bil akhir dikeluarkan untuk menyelesaikan pembayaran.
Jika tunggakan masih tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut, deposit pengguna akan digunakan untuk menampung baki hutang, dan akaun tersebut akan dikategorikan sebagai tidak aktif dan masih berhutang.
Selain itu, AKSB telah melantik empat ejen kutipan hutang berlesen untuk mengambil langkah susulan bagi mendapatkan semula jumlah tunggakan.
Sumber : Buletin TV3








