'Mereka akan dihantar pulang' - Duta Palestin mohon maaf insiden 2 rakyatnya buat onar di WTKL | The Reporter

‘Mereka akan dihantar pulang’ – Duta Palestin mohon maaf insiden 2 rakyatnya buat onar di WTKL

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, kesal dengan kekecohan yang ditimbulkan oleh beberapa rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur (WTKL) yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Walid, insiden itu tidak mencerminkan tingkah laku rakyat Palestin secara umum. Individu terbabit bertindak mengikut emosi kerana kecewa tidak dibenarkan keluar dari WTKL. Sedangkan mereka dilarang berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, isu tersebut sudah diselesaikan setelah kesemua pihak yang terlibat bertemu untuk berbincang mengenai insiden tersebut.

“Ini adalah kes terpencil, ia tidak mewakili Palestin. Ia memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Jika mereka tidak gembira, boleh kembali ke tempat asal. Mereka perlu dihantar pulang sebagai pengajaran kepada yang lain.

“Isu ni telah diselesaikan, kami tidak mahu memanjangkannya. Bagi pihak Palestin, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” kata Walid yang juga menegaskan beliau tidak akan membenarkan sesiapa menjejaskan hubungan dua hala Malaysia – Palestin.

Dalam pada itu, dua wanita Palestin yang menimbulkan kekecohan dan merosakkan harta benda awam ekoran tidak berpuas kerana tidak dibenarkan tinggal di luar WTKL, akan dihantar pulang ke Gaza dalam masa terdekat.

16 Ogos lalu, seramai 40 rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan Israel di Gaza, telah diterbangkan bersama 80 saudara mereka dari Kaherah, ke Malaysia untuk mendapatkan bantuan rawatan.

Rakyat Palestin yang sakit ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Tanku Mizan (HAT) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan. Manakala saudara mereka ditempatkan di WTKL yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts