Israel menyatakan harapannya terhadap Britain dan Amerika Syarikat akan menyertai mereka dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran sekiranya Tehran melancarkan serangan balas dendam atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Pembunuhan Ismail Haniyeh, seorang pemimpin terkemuka Hamas, telah meningkatkan ketegangan di rantau ini. Menteri Luar Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan menegaskan, Israel mengharapkan sekutu-sekutunya termasuk Britain dan Amerika Syarikat untuk turut serta dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran jika Tehran bertindak balas.
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Luar Britain, David Lammy dan Menteri Luar Perancis, Stéphane Séjourné, Katz menekankan keperluan untuk tindak balas yang kuat dan bersatu. Israel mengharapkan negara-negara ini bukan sahaja mempertahankan tanah rampasannya, malah mengambil bahagian dalam tindakan ofensif terhadap sasaran penting di Iran.
Sementara itu, komuniti antarabangsa mempunyai pandangan yang berbeza. Ada yang menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi ada juga yang bimbang konflik di Timur Tengah akan menjadi lebih buruk. Pegawai dari Britain dan Perancis dilaporkan sedang berusaha untuk meredakan ketegangan dan menggalakkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Jika Iran melancarkan serangan balas, penglibatan Britain dan Amerika Syarikat dalam tindak balas ketenteraan boleh menyebabkan konflik yang lebih besar di rantau ini, yang akan menjejaskan kestabilan dan keselamatan global. – Agensi








