Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengeluarkan kenyataan membantah keputusan mahkamah yang mengenakan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain, dalam kejadian buli tujuh tahun lalu.
Menurut SUHAKAM, hukuman itu bukanlah jalan penyelesaian yang adil dan berkesan, malah bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang dikatakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.
Bagi SUHAKAM, adalah penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana dengan cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah untuk menjadi masyarakat yang lebih bertanggunjawab.

Bagaimanapun, kenyataan SUHAKAM itu menimbulkan kemarahan ramai dan dianggap tidak adil untuk mangsa yang telah kehilangan yawa disebabkan perbuatan enam tertuduh terbabit.
Ibu bapa Zulfarhan juga turut membidas dan mempertikaikan motif SUHAKAM secara tiba-tiba tampil membuat kenyataan sedemikian.
“Di mana SUHAKAM ketika anak saya dibunuh dengan kejam tujuh tahun lalu?” demikian kata bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, memetik laporan dari portal Majoriti, Jumaat, 26 Julai 2024.
“Kenapa perlu sekarang? Apa yang cuba mereka sampaikan? Masa arwah diseksa tujuh tahun dahulu, kenapa tiada yang tampil memberi kenyataan?
“Sedangkan ketika itu Zulfarhan didera dengan kejam sehingga hilang nyawa. Mana keadilan untuk arwah?” tegasnya yang mendakwa SUHAKAM mempunyai kepentingan peribadi dalam mengeluarkan kenyataan mereka semalam.
Sumber: Majoriti








