Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pan Xiaoting, 24, yang popular dalam aktiviti mukbang (makanan dalam kuantiti banyak dan tidak masuk akal) di China, dilaporkan meninggal dunia akibat terlebih makan, ketika melakukan siaran langsung.
Kerajaan China mula mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti mukbang sejak 2020 dalam usaha mengurangkan rakyatnya makan secara berlebihan dan pembaziran makanan di mana pelakunya boleh dikenakan denda sebanyak 10,000 yuan (RM6,451)
Namun, aktiviti mukbang ini masih popular di negara Asia dengan ribuan orang yang merisikokan nyawa mereka dengan menyumbat segala makanan hanya untuk mendapatkan wang dan perhatian di media sosial.
Abaikan kesihatan
Salah seorangnya adalah Pan. Pan sebelum ini bekerja sebagai pelayan, namun mengambil keputusan berhenti kerja untuk mencuba nasib dalam dunia mukbang.
Dia kemudian menjadikan aktiviti mukbang itu sebagai kerjaya tetap dan berjaya meraih ribuan penonton yang menontonnya. Hari demi hari, popularitinya semakin meningkat dan dia mula mengabaikan kesihatannya.
Sehinggalah berat badannya melonjak sehingga 300 kilogram akibat makan berlebihan di mana dia makan tanpa henti selama 10 jam sehari atau mengambil lebih 10 kilogram makanan di setiap sesi penstriman.
Ibu bapa mula risau
Ibu bapanya mula bimbang dan berulang kali menasihatkan Pan akan bahaya makan secara berlebihan. Namun dia menjawab, “Jangan risau, saya boleh hadap”.
14 Julai, Pan meninggal dunia ketika sedang membuat siaran langsung. Bedah siasat menunjukkan perut Pan dipenuhi dengan makanan yang tidak dihadam.
Kematian Pan menjadi peringatan atau amaran kepada mukbanger lain yang selama ini menyalahgunakan badan mereka demi wang dan perhatian.
Sumber: Oddity Central