Seorang pemegang akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di Sarawak, baru-baru ini memenangi Cabutan Bonanza Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi bulan Jun.
Walaupun hanya membeli SSP pada bulan April lalu, dia berjaya membawa pulang hadiah utama.
Menurut Jonatan Labo, dia pada awalnya berminat untuk menambah pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Namun, seorang kerani di gereja tempatnya bertugas menyarankan agar dia membeli SSP.
“Kerani itu kata, mungkin saya antara rakyat Malaysia bertuah jika saya membeli SSP dan saya pun membeli SSP dengan nilai RM10,000,” katanya.
Difahamkan, Jonatan membuka akaun BSN sejak 2019 dan keputusan membeli SSP itu nampaknya membawa tuah kepada Jonatan di mana beliau memenangi cabutan Jutawan BSN SSP Ke-101 dan menerima hadiah daripada Naib Presiden Kanan BSN, Aizurra Melissa Muzammil.
Jonatan yang juga Pengerusi Pastor Borneo Evangelical Mission (BEM) Daerah Ulu Trusan, Lawas, mengakui dia pada awalnya tidak mengetahui kemenangannya itu kerana ada masalah capaian telekomunikasi di kampungnya, di Long Semadoh.
“Saya dimaklumkan oleh anak saudara yang nama saya tersenarai sebagai pemenang utama cabutan itu. Tetapi saya was-was dengan apa yang dia beritahu itu. Tidak lama selepas itu, pegawai BSN berjaya menghubungi saya dan meyakinkan saya bahawa apa yang diberitahu oleh anak saudara itu benar,” katanya.
Jonatan turut bercadang untuk menyumbangkan RM100,000 hasil kemenangannya kepada gereja BEM. Bagaimanapun, beliau belum memutuskan apa yang akan dilakukan dengan baki RM900,000 lagi.
“Mungkin akan terus membeli SSP ataupun menambah pelaburan ASB,” katanya.
Sumber: Berita Harian








