Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang bekas pegawai polis berpangkat Inspektor membayar ganti rugi berjumlah RM820,000 kepada dua wanita warga Mongolia, kerana melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), empat tahun lalu.
Hakim Dr. Mohd Johan Lee @ John Lee Kien How membenarkan saman yang dikemukakan oleh dua wanita terbabit yang bertindak selaku plaintif terhadap defendan, Hazrul Hizham Ghazali, selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan yang tidak dicabar atau disangkal oleh defendan.
Defendan tidak diwakili peguam selepas peguamnya menarik diri dan Hazrul tidak pernah hadir sepanjang perbicaraan, walaupun telah dimaklumkan oleh bekas peguamnya.
8 kali persetubuhan tanpa rela
Bagi kes pertama, plaintif berjaya membuktikan bahawa defendan melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya sebanyak enam kali. Beliau juga memutuskan bahawa defendan boleh dipertanggungjawab atas salah laku gangguan seksual, salah laku mendatangkan kecederaan dan pengurungan secara salah.
Bagi seorang lagi plaintif, mahkamah mendapati defendan melakukan persetubuhan tanpa kerelaan sebanyak dua kali dan mengurung secara salah.
Mahkamah memberikan ganti rugi sebanyak RM460,000 kepada plaintif merangkumi ganti rugi am, mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan (RM200,000).
Oleh itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi berjumlah RM360,000 merangkumi ganti rugi am termasuk mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan (RM150,000).
11 pertuduhan memperdagangkan dua wanita
Defendan sebelum ini didakwa atas 11 pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks, merogol dan mencabul mangsa sama. Namun, dia dibebaskan daripada kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan, pada tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Johan berkata, pada 10 April 2020, kedua-dua plaintif ditahan pada satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya. Selepas diarahkan keluar daripada kereta dan dibawa ke khemah polis di sekatan jalan raya itu, defendan membawa kedua-dua wanita terbabit ke sebuah hotel di lokasi berhampiran.
Defendan kemudian meletakkan kedua-dua wanita itu di dua bilik berasingan dan melakukan hubungan seks tanpa kerelaan ke atas mereka di antara 10 dan 11 April 2020.








