Pemilik restoran steamboat nafi dakwaan enggan bertanggungjawab terhadap mangsa | The Reporter

Pemilik restoran steamboat nafi dakwaan enggan bertanggungjawab terhadap mangsa

Sumber gambar: Google Images

Pemilik Rotarium Buffet Steamboat Restaurant, Mohd Sofrizam Mohd Yusof, menafikan dakwaan yang mendakwa beliau tidak mahu bertanggungjawab terhadap tujuh sekeluarga yang mengalami kecederaan serius akibat gas memasak steamboat tiba-tiba meletup di restoran di Temerloh, Pahang.

Mohd Sofrizam menegaskan, beliau hanya mengikut prosedur yang dinasihatkan oleh peguamnya dan tidak membuat sebarang kenyataan awal kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Selain itu, beliau juga menepis dakwaan yang mendakwa hanya memberikan pampasan sebanyak RM1,000 kepada mangsa tersebut.

Menurutnya, kesemua mangsa masih menjalani rawatan dan pihaknya bersama peguam yang dilantik akan membayar segala pampasan yang diminta seperti yang sudah dibincangkan.

“Saya sebagai pemilik sudah tentu ada rasa bertanggungjawab dan berjumpa sendiri dengan mangsa.

“Saya agak terkejut bila mendakwa pihak kami tidak mahu bertanggungjawab sedangkan saya sendiri sudah berjumpa dengan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Kami ini hanya peniaga kecil dan saya ada pekerja untuk diberi makan. Jangan kerana hanya fitnah seperti ini akan memudaratkan orang lain,” ujarnya.

Sumber: Majoriti

Related Posts