Mahadi terkejut namanya berada dalam senarai amaran pelaburan SC | The Reporter

Mahadi terkejut namanya berada dalam senarai amaran pelaburan SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memasukkan nama Mahadi Badrul Zaman, suami kepada selebriti Heliza Helmi, dalam senarai amaran pelaburan.

Berdasarkan semakan pada laman web ‘Investor Alert List’ SC, nama ahli perniagaan terbabit dan syarikatnya, AUF MBZ Consortium Plt, berada dalam senarai teratas aktiviti pelaburan secara tidak sah.

Kenyataan di senarai tersebut menunjukkan bahawa, individu dan syarikat milik Mahadi telah menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen untuk berurus niaga dalam sekuriti, terutamanya berkaitan dengan pemasaran saham syarikat awam yang tidak tersenarai.

Sementara itu, Mahadi mengakui beliau terkejut dengan perkara itu dan bagi membersihkan reputasinya, beliau telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan pihak SC bagi menuntut penjelasan.

Dalam pertemuan itu, Mahadi menyatakan kebimbangan dan menunjukkan komitmen untuk mematuhi undang-undang dan etika perniagaan.

Mahadi memberi jaminan, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak SC dan akan membuat pengesahan sekiranya terdapat keraguan yang menyebabkan namanya terus berada dalam senarai amaran pelaburan.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham tentang kerjasama beliau dengan syarikat yang tidak disenaraikan.

Saya ingin memberi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa telah memberi komitmen dan patuh dalam amalan etika perniagaan.

“Saya akan berusaha dengan gigih untuk menyelesaikan perkara ini bagi memulihkan reputasi dan operasi perniagaan saya,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian, Kosmo! Online

Related Posts