Seorang lelaki warga emas berusia 60-an yang juga peniaga nasi lemak, maut ditikam sebanyak 27 kali dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 petang Selasa, di Jalan Perak, George Town.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan kecederaan parah di bahagian leher dan badan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang, namun disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.
Pemeriksaan pada mayat mangsa menemui 27 kesan tikaman di seluruh badan, termasuk leher. Menurut maklumat awal yang diterima, mangsa bukannya disamun tetapi dibunuh kerana beberapa barangan berharga milik mangsa masih berada di badannya.
Semakan rekod turut mendapati, mangsa mempunyai beberapa rekod lampau.
Berdasarkan penelitian pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, dua individu disyaki terbabit dalam pembunuhan itu. Ketika suspek pertama menyerang mangsa, suspek kedua pula menunggu di motosikal yang berkemungkinan bersiap sedia untuk melarikan diri sekira perbuatan mereka disedari pihak berkuasa.
Motif kejadian masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Kosmo! Online








