'Saya tertekan & trauma' - Abdul Wahab buat laporan polis untuk bersihkan nama, tuntut keadilan | The Reporter

‘Saya tertekan & trauma’ – Abdul Wahab buat laporan polis untuk bersihkan nama, tuntut keadilan

Sumber gambar: Harian Metro, Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman, jam 11 pagi tadi tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, untuk membersihkan namanya.

Abdul Wahab juga hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk dirakam keterangan berhubung klip videonya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, yang tular di media sosial sebelum ini.

Sekitar jam 5 petang, Abdul Wahab selesai memberi keterangan dan ketika ditemui pihak media, lelaki itu mendakwa dia tertekan dan trauma dengan apa yang sedang dilaluinya pada ketika ini.

“Apa boleh saya katakan adalah, saya tertekan dan trauma. Saya buat laporan polis untuk membersihkan nama dan menuntut keadilan,” katanya.

Penjawat awam berkenaan bagaimanapun tidak mengetahui status jawatannya di J-KOM.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan untuk PDRM mendedahkan identiti Mr H kepada umum kerana siasatan masih lagi dijalankan.

Setakat ini, lapan individu telah dipanggil oleh PDRM untuk membantu siasatan. Kertas siasatan juga akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok untuk tindakan lanjut.

17 November lalu, video perbualan di antara Abdul Wahab dan Dr Agus Yusoff tular di medai sosial berikutan isi kandungan perbualan mereka didakwa berunsur lucah.

Namun, Dr Agus dan Abdul Wahab mendakwa video tersebut adalah palsu dan telah disunting atas arahan individu bernama Mr H kepada Abdul Wahab untuk memerangkap Dr Agus.

Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro

Related Posts