Seorang pengusaha taska tampil membuat laporan polis dan mendakwa anak angkatnya berusia lapan tahun telah dirotan sehingga mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada jam 9.24 malam, 11 November lalu.
Menurut laporan yang dibuat, pengadu mendakwa anak angkatnya yang belajar di sebuah madrasah telah dirotan menggunakan paip PVC. Akibatnya mangsa mengalami kecederaan teruk di kaki dan tapak tangan.
Perkara itu disedari oleh pengadu ketika dia membawa mangsa keluar daripada madrasah tersebut secara mengejut untuk keluar makan bersama.
Sebaik saja tiba di kedai makan, mangsa mengadu sakit ketika duduk. Pengadu kemudian memeriksa badan mangsa dan mendapati ada beberapa kesan lebam teruk di badannya.
Susulan daripada kejadian itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik telah menahan seorang tenaga pengajar berusia 27 tahun di madrasah berkenaan.
Suspek mengakui dia telah merotan mangsa yang juga merupakan warganegara Indonesia itu menggunakan satu batang paip jenis PVC, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Suspek direman sehingga 16 November mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, dan telah dijamin oleh seorang penjamin dan diwakili peguamnya.
Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Kedah dan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Kosmo! Online








