'Ayah tak bercakap sepatah pun sebelum saya pergi sekolah' - Anak terkejut, bapanya (pemandu Grab) terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Elmina | The Reporter

‘Ayah tak bercakap sepatah pun sebelum saya pergi sekolah’ – Anak terkejut, bapanya (pemandu Grab) terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Elmina

Sumber gambar: Facebook Hazwani Hamdan

Pemandu e-hailing yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, disahkan sebagai Sharipuddin Shaari, berusia 53 tahun.

Bapa kepada dua anak itu, terdahulu ada menghubungi isterinya, Suriana Muda, 43, buat kali terakhir memaklumkan dia sedang berehat di sebuah restoran dan berada di Elmina untuk mengambil dan pelanggan sebelum pulang awal selepas selesai bekerja.

Anak sulung mangsa, Muhammad Sharul Izuan, 16, berkata, dia tidak menyangka bapanya terbabit dalam nahas itu dan pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

Pagi sebelum kejadian, Sharipuddin yang sedang memeriksa enjin kereta tidak bercakap sepatah pun dengan Muhammad Sharul sebelum keluar pergi ke sekolah menunggang motosikal bersendirian.

Malam sebelum itu juga, Sharipuddin menyuruh anak sulungnya itu makan sambil bersembang panjang berbanding sebelum ini mereka hanya bercakap apabila ada perkara penting yang perlu dibincang.

Sehinggalah jam 6 petang semalam, anggota peronda polis datang dan memaklumkan bapa mereka terbabit dalam nahas itu membuatkan mereka sekeluarga terkejut.

“Pemergian ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah seorang yang penyayang. Namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Terdahulu, Ketua Polis Negara memaklumkan pemandu e-hailing berkenaan menolak tempahan penumpang sejak jam 2 petang sebelum kejadian pesawat terhempas.

Polis percaya, mangsa tidak membawa penumpang pada ketika itu. Walaupun begitu, polis sedang menunggu hasil keputusan siasatan Forensik untuk mengesahkan perkara berkenaan.

Sumber: Harian Metro, Facebook Hazwani Hamdan

Related Posts