Seorang TikToker warganegara Asia telah ditahan pihak berkuasa di Dubai kerana menerbit dan memuat naik video menggambarkan dirinya sebagai warga Arab yang kurang ajar berbelanja di sebuah bilik pameran kenderaan mewah.
Dalam video itu, dia melemparkan timbunan wang kepada pekerja premis tersebut yang kebingungan. Kemudian memaklumkan dia mahu membeli kereta yang paling mahal bernilai $600,000 (RM2.7 juta) Ferrari SF90.
Perbuatannya itu dianggap mempersenda gaya hidup mewah penduduk di bandar itu yang terkenal dengan bangunan pencakar langit berkilauan yang menjadi daya tarikan pelancong.
Undang-undang larang penerbitan berbaur kritikan/hina UAE
Sedangkan Dubai dikenali dari segi sosialnya yang lebih berlembut. Berbanding kebanyakan negara Timur Tengah yang lain, dengan kod pakaian yang santai, mempunyai bar dan kelab yang menyajikan alkohol, serta kelab komedi tempatan.
Tetapi undang-undang melarang sebarang bentuk ucapan, termasuk kewartawanan dan sindiran yang dianggap mengkritik pihak berkuasa atau menghina Emiriah Arab Bersatu (UAE).
TikToker berkenaan, Hamdan Al Rind yang mengelar dirinya sebagai ‘Pakar Kereta’ mempunyai 2.5 juta pengikut di platform itu. Video terbarunya menarik perhatian jutaan penonton dan dikongsikan secara meluas di media sosial, sebeum diturunkan susulan penahanannya.
Dalam video itu, Hamdan memakai jubah putih panjang yang biasa dipakai oleh lelaki Arab, cermin mata hitam dan pelitup muka.
Dia kemudian bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Arab, menjerit terhadap pekerja premis itu. Manakala pembantunya mengangkut sejumlah wang tunai yang banyak.
Pendakwaan Persekutuan berkata, Hamdan telah didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan internet dengan menyiarkan propaganda yang membangkitkan pendapat umum dan membahayakan kepentingan awam.
Selain itu, Hamdan didakwa mempromosikan imej mental yang salah dan menyinggung perasaan warga Arab dengan tindakannya yang mempersenda mereka di media sosial.
Agensi berita WAM melaporkan, tidak pasti tarikh sebenar Hamdan ditangkap atau apakah hukuman yang bakal dihadapinya.
‘Saya ingat dia faham undang-undang itu’
Sementara itu, pemilik premis kenderaan mewah, Ahmed Mansour berkata, dia menyangka Hamdan adalah warganegara Arab.
“Dia masuk dan mahu merakam video, saya kata ya. Jika ia tidak berlaku di bilik pameran saya, ia mungkin akan berlaku di tempat lain.
“Sesetengah orang menganggap ia menyinggung perasaan, sesetengah orang menganggap ia lucu. Setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri. Saya ingatkan dia faham dengan undang-undang itu,” katanya kepada The Associated Press.
Sumber: AP News








