Divagaran Uthaya Sooriyam, 32, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menumbuk muka pekerja kedai serbaneka dalam kejadian pada 20 Jun lalu, jam 5 pagi di Ecohill Taipan, Semenyih.
Tertuduh yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi, hari ini di Mahkamah Majistret Bangi.
Dalam kejadian tersebut, tertuduh dilaporkan sengaja mencederakan mangsa berusia 18 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam yang mewakili tertuduh, V Vickneswari bagaimanapun memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya yang masih bujang dan merupakan satu-satunya anak lelaki yang masih menjaga ibu bapanya.
Selain itu, anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan perlu melunaskan komitmen bulanan kereta dan rumah masing-masing RM500.
Majistret Nurdiyanah membenarkan tertuduh diberi jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Kes disebut semula pada 15 Ogos depan untuk serahan dokumen dan laporan perubatan.
Sumber: Harian Metro








