Polis telah menahan dua lelaki yang mencederakan pekerja (7E) premis serbaneka di Bandar Rinching, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua individu berusia 31 dan 32 tahun telah ditahan di dua lokasi berbeza.
Dua suspek terbabit ditahan di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor antara jam 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan.
Polis juga merampas dua telefon pintar milik suspek. Semakan juga mendapati, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah yang berkaitan dengan jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua puluh tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Semalam, mangsa berusia 18 tahun yang bekerja di 7E itu didatangi oleh dua lelaki, kira-kira jam 5 pagi. Salah seorang suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, salah seorang daripada suspek mengambil tiga batang payung dan terus keluar tanpa membayar.
Mangsa yang ternampak perbuatan suspek terus bertindak menegur dan meminta dia memulangkan payung tersebut. Tindakannya itu mengundang rasa tidak puas hati suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol lalu menumbuk dan menyepak muka mangsa.
Sebelum beredar dari lokasi, kedua-dua suspek sempat berswafoto dengan mangsa. Video dan gambar kejadian itu kemudian tersebar meluas di media sosial.
Sumber: Harian Metro








