Tular di TikTok rakaman video yang memaparkan kelibat lelaki dan wanita dipercayai pelajar di sebuah IPTA di negeri Terengganu berhibur menonton konsert terbabit sambil menari beramai-ramai.
Susulan daripada video tersebut, ramai yang mengecam tindakan pihak universiti dan juga para pelajar terbabit yang didakwa melanggar peraturan hiburan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri Terengganu.
Menerusi satu perkongsian di TikTok Sabri Mamat, beliau berasa amat sedih melihat gelagat pelajar-pelajar berkenaan yang dilihat sangat gembira meraikan konsert tersebut.
“Sedih dan kecewa melihat adik-adik di UMT ketika konsert malam Galau UMT, 2023, melihat mereka terkinja-kinja, melompat-lompat.
“Tapi bagi saya sebenarnya bukan silap anak-anak ini. Kenapa program seperti ini diluluskan oleh pihak pengurusan UMT? Adakah pihak universiti memohon permit dari PBT.
“Memang benar, UMT dibawah Kementerian Pengajian Tinggi. Tetapi adakah sebenar pihak universiti ini kebal dari peraturan PBT kerana kita sudah ada garis panduan hiburan untuk negeri Terengganu.
“Sebagai contoh, ketika hari keluarga Malaysia di peringkat Pantai Timur tahun lepas dibawakan artis-artis datang membuat persembahan. Tetapi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Begitu juga dengan Karnival Jom Heboh yang diadakan, pada malam kemuncak diadakan Malam Cinta Rasul, berselawat bersama-sama artis jemputan.
Kami sebagai rakyat negeri Terengganu amat sedih melihat anak-anak diperlakukan seperti ini,” katanya.
Langgar garis panduan, Kerajaan Negeri akan siasat
Bertindak atas aduan ramai, Kerajaan negeri Terengganu akan menyiasat dakwaan penganjuran konsert hiburan yang dikatakan keterlaluan itu.
Konsert melibatkan pencampuran lelaki dan perempuan itu didakwa melanggar Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, siasatan akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap penyebaran video konsert berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya benar, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di dalam kawasan kampus.
“Tidak sepatutnya berlaku kerana garis panduan (hiburan) bukan perkara baharu di Terengganu.
“Walaupun berlaku di dalam kawasan persendirian sekalipun, kena ikut garis panduan tersebut. Kerana ia dasar kerajaan negeri (Terengganu),” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, pejabat naib canselor IPTA yang dihubungi memberitahu siasatan dalaman berhubung isu tersebut sedang dilakukan.
Sumber: Sabri Mamat, Kosmo Online








