Seorang wanita berusia 33 tahun ditahan polis pada Selasa lalu kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, suspek ditahan di kediamannya di Puncak Alam, Selangor selepas polis menerima maklumat mengenai perbuatannya itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu yang tidak dikenali.
Polis telah merampas telefon bimbit yang disyaki digunakan oleh suspek untuk merakam video tersebut.
Siasatan awal mendapati, mangsa adalah anak ketiga daripada lima beradik dan kejadian itu dipercayai berlaku di dalam sebuah bilik di rumah suspek pada November 2022.
Suami suspek pula dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara.
Kesemua anak-anak suspek yang berusia sembilan hingga 17 tahun kini berada di bawah jagaan JKM.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai merakam adegan amang seksual fizikal dua beranak itu. Suspek ditahan pada Jumaat lalu di sekitar Puncak Alam.
Telefon bimbit milik suspek turut dirampas kerana disyaki digunakan untuk merakam adegan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sumber: Bernama








