Demi membantu kanak-kanak berkeperluan khas dan kurang berkemampuan, pelakon dan penyanyi Hong Kong, Alex Fong Lik-sun sanggup berenang sejauh 35 kilometer merentasi perairan dari Hong Kong ke Macau dalam satu misi amal pada Sabtu lalu.
Fong, 46, yang juga bekas perenang Olimpik Hong Kong berjaya menamatkan cabaran tersebut dalam tempoh lapan jam 37 minit 24 saat, kira-kira 20 minit lebih awal daripada jangkaan.
Kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai perenang lelaki terpantas menamatkan renangan dari Hong Kong ke Macau.
Memetik laporan Macau Daily Times, program amal anjuran InspiringHK Sports Foundation itu berjaya mencapai sasaran kutipan dana sebanyak HK$10 juta.
Hasil kutipan bersih akan disalurkan kepada yayasan berkenaan dan Macau Special Olympics bagi membiayai program latihan sukan untuk kanak-kanak kurang berkemampuan serta golongan muda berkeperluan pendidikan khas.
Hampir berputus asa ketika berenang
Sepanjang perjalanan itu, Fong terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk arus laut deras, ombak besar, suhu air rendah serta laluan kapal yang sibuk.
Malah, beliau tidak dibenarkan menaiki bot pengiring, berpaut pada sebarang objek untuk berehat atau menggunakan peralatan bantuan apungan sepanjang renangan tersebut.
Fong mengakui cabaran berkenaan hampir membuatkannya berputus asa beberapa kali, terutama apabila suhu air menurun secara mendadak sehingga menyebabkan sakit kepala, anggota badan menggigil dan tapak kakinya hilang deria rasa.
Bagaimanapun, ingatan terhadap keluarga serta kanak-kanak yang memerlukan bantuan menjadi sumber kekuatan buatnya untuk terus berenang sehingga tiba di garisan penamat.
Fong turut berharap kejayaannya itu dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda agar tidak mudah berputus asa ketika berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan.
Misi amal berkenaan turut disusuli dengan sebuah konsert kebajikan yang menghimpunkan barisan penghibur dari Hong Kong dan Macau bagi mengumpul dana untuk enam pertubuhan kebajikan.








