Kucing curi perhatian ‘mengembara’ sendirian sejauh 59km dengan kereta api | The Reporter

Kucing curi perhatian ‘mengembara’ sendirian sejauh 59km dengan kereta api

Zeus, kucing berusia empat tahun yang menaiki kereta api sendirian sejauh 59 kilometer ke London.
Zeus, kucing berusia empat tahun yang menaiki kereta api sendirian sejauh 59 kilometer ke London.

Seekor kucing bernama Zeus mencuri perhatian selepas menaiki kereta api bersendirian sejauh 59 kilometer dari Braintree, Essex ke pusat bandar London, England sebelum ditemukan oleh petugas stesen.

Memetik laporan BBC News, kucing jantan berusia empat tahun itu menaiki kereta api pada jam 8.08 malam, 10 November lalu sebelum tiba di stesen London Liverpool Street.

Jurucakap syarikat pengendali kereta api, Greater Anglia berkata, Zeus dibawa ke pejabat petugas stesen bagi memastikan keselamatannya sementara usaha menghubungi pemilik haiwan berkenaan dilakukan.

Petugas berjaya memperoleh maklumat pemilik Zeus menerusi kod QR yang terdapat pada tag di kolar kucing berkenaan.

Bagaimanapun, selepas dimaklumkan bahawa pemiliknya tidak dapat datang mengambil haiwan itu, petugas Greater Anglia mengambil inisiatif menemani Zeus menaiki kereta api seterusnya untuk pulang ke Braintree.

Bukan kali pertama menaiki kereta api

Pemiliknya, Lily Burroughs berkata, kejadian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Zeus sememangnya gemar mengembara.

Kucing baka campuran British Shorthair itu sebelum ini pernah menaiki kereta api dari kawasan kediaman lamanya di Stansted Mountfitchet menuju ke Lapangan Terbang London Stansted.

Menurut Burroughs, Zeus turut dilengkapi dua alat penjejak kerana sifatnya yang gemar meneroka kawasan sekitar, selain suka berinteraksi dengan orang ramai.

Katanya, perjalanan dari Braintree ke London merupakan pengembaraan paling jauh pernah dilakukan Zeus, namun tidak menolak kemungkinan haiwan peliharaannya itu akan pergi lebih jauh sekiranya berpeluang.

Burroughs turut merakamkan penghargaan kepada petugas kereta api yang prihatin menjaga keselamatan Zeus dan membantunya pulang.

Sementara itu, Greater Anglia memaklumkan bahawa Zeus turut menikmati perhatian dan layanan mesra daripada petugas stesen serta penumpang sepanjang perjalanan pulangnya.

Related Posts