Kepala terhentak lantai, Jamawi Jaafar cedera tergelincir di tandas KLIA | The Reporter

Kepala terhentak lantai, Jamawi Jaafar cedera tergelincir di tandas KLIA

Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, cedera di kepala selepas tergelincir di KLIA.
Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, cedera di kepala selepas tergelincir di KLIA. Gambar: Facebook Jamawi Jaafar.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar mengalami kecederaan di kepala sehingga memerlukan jahitan selepas tergelincir ketika menggunakan tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menjelaskan kejadian berlaku di tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar, ruang menunggu orang kenamaan (VIP) KLIA, dipercayai akibat permukaan lantai yang licin.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kepalanya terhentak ke lantai sehingga mengalami luka dan terpaksa mendapatkan rawatan di Menara Medical Clinics KLIA.

“Ada kawan-kawan yang nampak saya di KLIA dengan tuala berdarah menutupi kepala pagi tadi WhatsApp dan telefon bertanya apa yang berlaku.

“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.

“Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai,” katanya.

Rakam penghargaan buat petugas kesihatan

Dalam pada itu, Jamawi merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang memberikan rawatan serta menjahit luka di kepalanya.

Susulan kejadian tersebut, beliau turut menasihatkan pihak Malaysia Airports supaya melaksanakan penambahbaikan terhadap permukaan lantai tandas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Hantaran di Facebook Jamawi Jaafar

Beliau juga mencadangkan supaya laluan kecemasan ke klinik berhampiran disediakan, selain latihan pengendalian kecemasan diberikan kepada kakitangan lapangan terbang.

“Saya juga telah menasihatkan pegawai dan kakitangan Malaysia Airports agar melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan permukaan tandas dan perlunya disediakan laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA.

“Latihan juga harus diberikan kepada kakitangan agar langkah-langkah awal rawatan kecemasan dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Sementara itu, Jamawi memaklumkan beliau akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang selepas menempuh perjalanan jauh dari Brasilia, Brazil melalui Sao Paulo dan Doha sebelum tiba di KLIA.

Beliau turut berterima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa, Datuk Yusuf Apdal serta rakan-rakan lain yang bertanyakan keadaannya selepas melihat beliau mengalami kecederaan di lapangan terbang berkenaan.

Related Posts