Pengarah, pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Afdlin Shauki tampil memberikan penjelasan susulan kritikan terhadap gurauannya yang menyebut nama penyanyi Aina Abdul ketika mengendalikan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Afdlin menjelaskan bahawa gurauan tersebut sebenarnya merujuk kepada saiz busana yang sering digayakan Aina, bukannya bertujuan memperlekehkan bentuk tubuh badan penyanyi berkenaan.
Menurutnya, beliau merupakan peminat Aina dan sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya penyanyi itu, termasuk keberaniannya bereksperimen dengan fesyen sehingga berjaya membina identiti tersendiri dalam industri hiburan.
“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul.’
“Itu namanya branding yang menjadi. Sebab itulah abang petik nama Aina malam tu,” katanya.
Penampilan Aina
Mengulas dakwaan bahawa gurauannya mempunyai unsur body shaming, Afdlin menegaskan bahawa perkara yang cuba disampaikan adalah berkaitan penampilan busana Aina serta kesannya terhadap sudut pandangan kamera sekiranya penyanyi itu berada di barisan hadapan.
“Punchline malam tu tentang saiz busana dan apa jadi pada pandangan kamera kalau busana segah itu ada di barisan depan.
“Abang sendiri dah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi abang tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Afdlin turut memohon maaf kepada Aina sekiranya gurauan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang, sambil menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk menyindir penyanyi tersebut.
“Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Aina pada masa hadapan sekiranya diberikan peluang.
Penerimaan masyarakat
Sementara itu, Afdlin mengakui bahawa penerimaan masyarakat terhadap sesuatu gurauan sudah banyak berubah berbanding ketika beliau mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan.
Katanya, rakaman pendek daripada sesuatu acara juga boleh tersebar tanpa konteks penuh sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan orang ramai.
“Sekarang, beberapa saat dari satu malam boleh beredar sendiri dan orang dengar dengan macam-macam tafsiran. Sebab itu abang rasa elok abang beri konteks sendiri.
“Kepada yang menegur, abang dengar. Kepada yang dah lama tak berkenan dengan abang, abang doakan yang baik-baik juga,” ujarnya.
‘Punchline’ undang kontroversi
Terdahulu, gurauan Afdlin mengundang kritikan. Kontroversi itu tercetus selepas Afdlin secara berseloroh meminta individu yang memakai busana seperti Aina supaya duduk di bahagian belakang dewan kerana dikhuatiri menghalang pandangan kamera dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Gurauan ketika acara yang berlangsung di Istana Budaya pada Sabtu itu mengundang kritikan pengguna media sosial, khususnya peminat Aina yang menganggap kenyataan berkenaan tidak sesuai dijadikan bahan jenaka.








