'Nak bernafas pun masih struggle' - Amir Raja Lawak kongsi keadaan terkini | The Reporter

‘Nak bernafas pun masih struggle’ – Amir Raja Lawak kongsi keadaan terkini

Amir Raja Lawak berkongsi keadaan kesihatan terkini selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru di hospital.
Amir Raja Lawak berkongsi keadaan kesihatan terkini selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru di hospital. Gambar: Facebook Amir Raja Lawak.

Pelawak Amir Raja Lawak berkongsi perkembangan terkini tahap kesihatannya selepas memaklumkan bahawa dirinya kini telah dipindahkan ke wad biasa susulan menerima rawatan di hospital akibat jangkitan paru-paru.

Menerusi hantaran di Facebook, Amir meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan positif, namun masih memerlukan pemantauan serta bantuan oksigen untuk bernafas.

Menurutnya, meskipun sudah mampu menggunakan telefon bimbit sendiri, keadaan fizikalnya masih lemah sehingga mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian termasuk bercakap dan bergerak.

“Saya masih dipantau dan pakai oksigen. Saya berterima kasih banyak-banyak kepada semua.

“Saya boleh katakan, nak dapat balik kondisi keadaan diri saya 50/50 macam hari tu pun struggle lagi sekarang.

“Masih struggle lagi, untuk bernafas sekalipun, apatah lagi nak bergerak, memang ambil masa,” katanya.

Dalam pada itu, Amir turut menggambarkan kesakitan yang dialaminya sebagai ujian amat berat apabila menyifatkan kesakitan tersebut seolah-olah menyerang bahagian sendi dan dalaman tubuhnya.

Proses pemulihan

Malah, beliau mengakui masih mengalami keadaan tidak fokus, termenung dan sesekali sukar mengingati sesuatu.

“Ya Allah, tak tertanggung sakit ini. Memang sakit Ya Allah. Dia macam serang sendi dan dalaman.

“Kadang saya masih blur, kadang termenung, kadang tak ingat,” luahnya.

Tambahnya, proses pemulihan memerlukan masa kerana beliau perlu melatih semula paru-parunya secara berperingkat tanpa memaksa tubuh melakukan aktiviti secara terburu-buru.

Katanya, bercakap terlalu banyak juga menyebabkan dirinya terbatuk-batuk sehingga lebih selesa untuk berdiam diri.

Zahir penghargaan

Sementara itu, Amir turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kesembuhannya.

Walaupun tidak mampu membalas setiap mesej dan komen yang diterima, dia memaklumkan tetap membaca ucapan yang ditinggalkan orang ramai.

“Tulis posting ini pun, sejam lebih saya ambil masa.

“Yang cuba contact sebelum-sebelum ini kat inbox dan WhatsApp pun saya dah cuba jawab satu persatu ikut saya larat,” katanya.

Terdahulu, Amir dilaporkan mengalami jangkitan paru-paru sehingga memerlukan rawatan di hospital. Pelawak itu juga mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil.

Related Posts