Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kamera CCTV berkenaan disahkan berfungsi dengan baik, manakala pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi Khamis.
Pelepasan tugas
Menurut beliau, beberapa pentadbir dan guru sekolah terbabit turut diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Saya memandang serius kejadian ini dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok (Khamis) untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Fadhlina berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan, manakala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) turut berada di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November, bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah.
Bantuan psikologi
Bantuan psikososial juga telah diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian berkenaan.
“KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan,” tegasnya.
Terdahulu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar pada Rabu.
Mangsa dilaporkan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bangunan sekolah kira-kira jam 6 petang sebelum kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Sementara itu, Fadhlina turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memahami kesedihan yang ditanggung mereka akibat kehilangan insan tersayang.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
“Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.








