Sambutan sederhana tetapi penuh bermakna buat seorang pengawal keselamatan sekolah mencuri perhatian ramai selepas perkongsian mengenainya mendapat perhatian di media sosial.
Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebat dikenali sebagai Encik Azini menerima penghargaan istimewa apabila warga sekolah berkenaan mengadakan sambutan hari lahir bagi meraikan dirinya, hari ini.
Sambutan itu menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan dedikasi beliau yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan serta persekitaran sekolah.
Menerusi hantaran yang dikongsikan pihak SK Sebat di Facebook, sambutan berkenaan turut disertai barisan pentadbir, guru dan kakitangan sekolah sebagai tanda ingatan terhadap individu yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan warga sekolah.
Walaupun bertugas sebagai pengawal keselamatan, sumbangan Azini tidak dipandang sepi, sebaliknya diraikan sebagai sebahagian daripada keluarga besar sekolah berkenaan.
Menurut pihak sekolah, sambutan itu bukan sekadar meraikan hari kelahiran beliau, malah bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan dan saling menghormati dalam kalangan warga sekolah.
Pihak sekolah turut berharap amalan menghargai setiap warga sekolah dapat diteruskan bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni, mesra dan penuh kasih sayang.
“Setinggi-tinggi penghargaan buat Encik Azini atas segala khidmat dan dedikasi yang diberikan kepada SK Sebat. Semoga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan dilimpahi kebahagiaan,” menurut hantaran itu.
Dalam masa sama, pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang memberikan ucapan serta doa buat Azini sempena hari istimewanya.
“Sesungguhnya, kegembiraan seorang warga sekolah turut menjadi kegembiraan kita bersama,” katanya.
Perkongsian mengenai sambutan berkenaan turut meraih perhatian ramai, sekali gus memperlihatkan bahawa penghargaan terhadap seseorang tidak mengenal pangkat atau jawatan, sebaliknya berasaskan jasa, keikhlasan dan komitmen yang dicurahkan.








