Seorang individu berdepan detik mencemaskan apabila dilaporkan dikejar dan dikepung sekumpulan anjing ketika sedang berjoging di kawasan perumahan Setia Alamsari, malam tadi.
Kejadian itu dikongsikan seorang lelaki menerusi hantaran di Threads yang memaklumkan mangsa telah dikejar kira-kira enam hingga tujuh ekor anjing ketika melakukan aktiviti riadah.
Menurut lelaki berkenaan, kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan kerana lokasi berkenaan merupakan kawasan permainan yang sering menjadi tumpuan kanak-kanak setiap hari.
Bagaimanapun, dia meluahkan rasa syukur kerana tiada kanak-kanak sedang bermain di kawasan tersebut ketika kejadian berlaku.
“Kawasan tersebut merupakan kawasan permainan kanak-kanak pada setiap hari. Alhamdulillah pada masa kejadian tiada kanak-kanak yang sedang bermain di situ,” katanya.
Susulan kejadian itu, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa aduan telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Ahli Majlis bagi mendapatkan perhatian dan tindakan lanjut.
Dia turut berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak dan individu yang menjalankan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.
“Report kepada MPKJ dan Ahli Majlis telah dibuat. Diharapkan tindakan segera diambil dan dipermudahkan urusan insya-Allah,” katanya.








