DBKL kaji pengezonan kampung tradisi di Sungai Penchala | The Reporter

DBKL kaji pengezonan kampung tradisi di Sungai Penchala

Kawasan perkampungan Melayu di Sungai Penchala yang terlibat dalam kajian pengezonan kampung tradisi oleh DBKL.
Gambar: Facebook Hannah Yeoh

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai zon kampung tradisi di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang menjelaskan bahawa langkah berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan MADANI memelihara identiti dan warisan perkampungan Melayu di ibu negara.

Menurut kenyataan itu, kajian berkenaan dilaksanakan melalui Kajian Pelan Kawalan Mikro (PKM) bagi menilai kesesuaian kawasan berdasarkan ciri perkampungan, pembangunan sedia ada, keupayaan infrastruktur serta kepentingan pemilik tanah dan penduduk setempat.

Penilaian turut mengambil kira kawasan yang sudah dibangunkan, projek yang memperoleh kelulusan serta tekanan pembangunan di sepanjang jalan utama bagi memastikan cadangan pengezonan bersesuaian dengan keadaan setempat.

Sekiranya cadangan itu diteruskan, pembangunan di kawasan terlibat akan tertakluk kepada kawalan perancangan tertentu, termasuk ketinggian bangunan, kepadatan pembangunan dan reka bentuk yang mengambil kira identiti seni bina Melayu.

Kampung Sungai Penchala terletak dalam kawasan Rizab Melayu Sungai Penchala seluas 303.71 hektar, namun keluasan dan sempadan sebenar kawasan yang berpotensi dijadikan zon kampung tradisi hanya akan ditentukan selepas kajian terperinci selesai.

Bukan sekat pembangunan

DBKL turut menegaskan bahawa cadangan berkenaan bukan bertujuan menyekat pembangunan, sebaliknya memastikan keseimbangan antara pemeliharaan identiti perkampungan dengan keperluan pembangunan semasa.

Pada masa sama, pandangan dan persetujuan pemilik tanah akan menjadi pertimbangan utama, termasuk kepentingan mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan pengezonan tersebut.

Sebarang cadangan pembangunan tanah oleh pemilik yang terlibat masih boleh dipertimbangkan tertakluk kepada dasar perancangan, kesesuaian tapak dan keperluan teknikal yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan bahawa belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung perubahan pengezonan kawasan berkenaan.

“Sebarang perubahan zon guna tanah perlu melalui proses Perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) mengikut Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), termasuk pameran awam serta penelitian terhadap pandangan dan bantahan pihak berkepentingan.

“Proses pameran awam dijangka berlangsung pada Mei 2027, manakala pewartaan perubahan pelan tempatan disasarkan pada Februari 2028, tertakluk kepada proses dan kelulusan yang ditetapkan,” menurut hantaran berkenaan.

DBKL memberi jaminan bahawa perancangan kawasan Sungai Penchala akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan penduduk, pemilik tanah serta usaha mengekalkan warisan perkampungan Melayu di Kuala Lumpu

Related Posts