Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura susulan masalah jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah di negaranya yang berlarutan hampir empat bulan.
Permohonan maaf itu disampaikan bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, pada Ahad.
Menurut laporan Reuters dan Channel NewsAsia (CNA), Prabowo turut memberi jaminan bahawa kerajaan Indonesia telah melakukan segala usaha bagi menangani kebakaran hutan yang memberi kesan kepada penduduk di kedua-dua negara jiran itu.
Beliau menegaskan kerajaan Indonesia tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam kejadian kebakaran hutan, selain memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
Setakat ini, sebanyak 17 konsesi syarikat telah dibatalkan, manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 lagi telah didakwa.
Selain itu, sebanyak 23 syarikat lain disenaraikan untuk menghadapi pertuduhan, sementara keseluruhannya 104 syarikat dilaporkan berada dalam siasatan polis Indonesia.
Dalam usaha memadamkan kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan itu, Prabowo berkata kerajaan telah mengerahkan kira-kira 71,000 anggota bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, operasi berkenaan turut meragut nyawa 16 anggota, selain menyebabkan beberapa yang lain cedera serta kehilangan dua helikopter.
Prabowo turut menekankan kepentingan mengubah pendekatan pengurusan kebakaran hutan daripada hanya menumpukan usaha pemadaman kepada langkah pencegahan secara lebih sistematik.
Sehubungan itu, kerajaan Indonesia sedang merancang penubuhan sebuah agensi baharu serta pelaksanaan beberapa program bagi memperkukuh usaha mencegah kebakaran hutan pada masa depan.
Sementara itu, Menteri Luar Filipina, Theresa Lazaro berkata Indonesia telah memberikan penjelasan secara terbuka mengenai langkah yang diambil bagi menangani krisis berkenaan.
Menurutnya, pemimpin ASEAN turut menggesa negara anggota mengutamakan ratifikasi perjanjian berkaitan penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.








