Kepulangan seorang lelaki Bangladesh yang didakwa baru tiba dari Malaysia bertukar kecoh apabila dia menjadi rebutan tiga wanita yang masing-masing mengaku sebagai isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.
Kejadian yang tular di media sosial itu menarik perhatian ramai selepas rakaman video memperlihatkan ketiga-tiga wanita terbabit bertengkar sambil cuba menarik lelaki berkenaan untuk mengikut mereka.
Menurut laporan portal berita Bangladesh, The Daily Ittefaq, insiden tersebut berlaku di kawasan jalan berhampiran lapangan terbang berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan.
Dalam rakaman yang tersebar, ketiga-tiga wanita itu dilihat tidak mahu mengalah apabila masing-masing mendakwa lelaki terbabit merupakan suami mereka dan mahu membawanya pulang.
Situasi menjadi semakin kecoh apabila berlaku aksi tarik-menarik, manakala lelaki berkenaan kelihatan serba salah ketika berdepan pertengkaran tersebut.
Rakaman berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang memberikan pelbagai reaksi, termasuk ada yang terhibur melihat situasi luar biasa itu.
Bagaimanapun, satu kapsyen yang mengiringi perkongsian video di TikTok menyatakan kandungan tersebut dibuat sekadar untuk tujuan jenaka dan hiburan.
Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kejadian berkenaan benar-benar berlaku atau sekadar lakonan untuk menghasilkan kandungan media sosial.








