'Pengutip hutang datang cari bekas isteri, saya bimbang keselamatan keluarga' - Nubhan | The Reporter

‘Pengutip hutang datang cari bekas isteri, saya bimbang keselamatan keluarga’ – Nubhan

Penyanyi dan usahawan Nubhan membuat kenyataan berhubung kejadian pengutip hutang datang ke kediamannya mencari bekas isteri.
Gambar: Threads Nubhan

Penyanyi dan usahawan, Nubhan meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan diri, anak-anak serta keluarganya selepas kediamannya baru-baru ini didatangi individu yang dipercayai pengutip hutang.

Menurut Nubhan, kedatangan individu terbabit yang bertujuan mencari bekas isterinya, Dr Fie menyebabkan beliau semakin bimbang, khususnya terhadap keselamatan anak-anak dan ahli keluarga.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Nubhan mengakui sebelum ini beliau berasa bimbang untuk berkongsi sebarang perkara secara terbuka kerana tidak mahu keluarganya menjadi sasaran kecaman netizen.

“Sebelum ini saya sangat risau untuk memuat naik apa-apa di media sosial kerana khuatir keluarga saya dikecam, mak saya dihina dan macam-macam lagi.

“Tetapi apabila baru-baru ini rumah saya didatangi pengutip hutang, saya rasa amat risau atas keselamatan anak-anak, keluarga dan diri saya,” katanya.

Sehubungan itu, Nubhan berharap agar dirinya, anak-anak serta ahli keluarganya tidak dikaitkan atau dilibatkan dalam sebarang urusan membabitkan bekas isterinya.

“Memandangkan kedatangan pengutip hutang tersebut bertujuan mencari bekas isteri saya, saya mohon jasa baik agar anak-anak, keluarga dan diri saya tidak dilibatkan dalam isu ini,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, Nubhan turut membuat laporan polis berhubung kehadiran pengutip hutang di kediamannya kerana bimbang terhadap keselamatan diri, anak-anak serta ahli keluarganya.

Bagaimanapun, Nubhan tidak memperincikan mengenai tuntutan hutang berkenaan atau identiti individu yang hadir ke kediamannya.

Related Posts