MP Kuala Krai cadang UPKK diadakan sebelah pagi, elak murid keletihan | The Reporter

MP Kuala Krai cadang UPKK diadakan sebelah pagi, elak murid keletihan

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan peperiksaan UPKK diadakan pada sebelah pagi.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan peperiksaan UPKK diadakan pada sebelah pagi. Gambar: Abdul Latiff Abdul Rahman

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan supaya peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dilaksanakan pada sebelah pagi bagi mengelakkan murid menduduki peperiksaan dalam keadaan keletihan.

Beliau berkata, penjadualan waktu peperiksaan perlu mengambil kira kemampuan dan tahap tumpuan kanak-kanak, khususnya mereka yang terpaksa menghadiri kelas pada waktu pagi sebelum menduduki peperiksaan pada sebelah tengah hari.

Menurutnya, walaupun cadangan itu dilihat sebagai perkara kecil, pelaksanaannya mampu memberikan kesan besar terhadap keselesaan dan prestasi murid.

“Kita perlu melihat realiti pelajar. Mereka masih kanak-kanak. Keupayaan tumpuan mereka terbatas. Ada yang terpaksa menghadiri kelas pada waktu pagi, kemudian akhirnya menduduki peperiksaan dalam keadaan keletihan.

“Apakah kita mahu mengukur kemampuan sebenar mereka, atau sekadar menguji sejauh mana mereka mampu bertahan dalam keletihan?” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, Abdul Latiff meminta kerajaan meneliti cadangan berkenaan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pengurusan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) supaya jadual peperiksaan lebih mesra murid.

Katanya, penyesuaian jadual itu wajar dipertimbangkan memandangkan peperiksaan berkenaan hanya berlangsung selama empat hari dalam setahun, selain dapat membantu mengurangkan tekanan fizikal dan mental murid.

“Pendidikan yang baik bukan sekadar menuntut anak-anak belajar bersungguh-sungguh, tetapi juga menuntut sistem yang memahami keperluan dan kemampuan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar semua calon UPKK diberikan kelapangan hati, dipermudahkan urusan serta memperoleh keputusan cemerlang.

Peperiksaan UPKK yang bermula pada Isnin lalu berakhir hari ini (Khamis), selepas berlangsung selama empat hari.

Related Posts