Mukhlis Mubin dakwa isu kewangan nelayan tujuh tahun selesai dalam dua hari | The Reporter

Mukhlis Mubin dakwa isu kewangan nelayan tujuh tahun selesai dalam dua hari

Calon PH DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin berkongsi usaha membantu menyelesaikan isu kewangan Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat.
Calon PH DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin berkongsi usaha membantu menyelesaikan isu kewangan Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat. Gambar: Facebook Mukhlis Mubin

“Ini cara Gen Z bekerja.” Demikian kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin selepas mendakwa berjaya membantu menyelesaikan isu kewangan yang membelenggu Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat sejak tujuh tahun lalu dalam tempoh hanya dua hari.

Menerusi hantaran di media sosial, Mukhlis berkongsi bagaimana permasalahan yang dihadapi persatuan berkenaan mendapat perhatian segera selepas beliau membawanya kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim di Parlimen.

Menurutnya, beliau terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat yang mewakili komuniti nelayan Kuala Linggi bagi mendengar beberapa isu berkaitan kewangan persatuan itu.

“Semalam saya bertemu dengan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat yang mewakili komuniti nelayan Kuala Linggi. Ada beberapa isu yang memerlukan perhatian Kementerian Kewangan.

“Alhamdulillah, hari ini saya terus membawa isu tersebut kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tuan Kamil Munim,” katanya.

Bawa isu kepada Perdana Menteri

Mukhlis berkata, Kamil kemudian membawa perkara tersebut kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menurunkan tandatangan pada surat berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan.

“Menariknya, sebaik mendengar isu yang dibawa, Tuan Kamil terus mendapatkan perhatian PMX sendiri.

“Alhamdulillah, PMX turut menurunkan tandatangan pada surat tersebut bagi tindakan susulan seterusnya, insya-Allah,” katanya.

Menurut Mukhlis, antara perkara yang dibangkitkan termasuk tunggakan cukai dan penalti yang dikenakan terhadap persatuan berkenaan, yang mewakili kira-kira 228 ahli nelayan.

Dalam rakaman video yang dikongsikan, beliau mendakwa isu penalti tersebut telah mendapat kelulusan untuk diselesaikan selepas dibawa kepada pihak berkaitan.

“Malam kita meeting, hari ini kita bawa ke Parlimen, hari ini juga selesai. This is how Gen Z works,” katanya.

Zahir penghargaan

Dalam pada itu, Mukhlis menzahirkan penghargaan kepada Kamil atas tindakan pantas membantu membawa permasalahan komuniti nelayan kepada perhatian pihak tertinggi kerajaan.

Beliau turut mengalu-alukan komuniti nelayan Kuala Linggi yang berdepan sebarang masalah supaya menghubunginya bagi mendapatkan bantuan serta mengenal pasti saluran yang sesuai untuk menyuarakan isu mereka.

“Semalam orang kampung suarakan, hari ini kita terus gerakkan penyelesaian.

“Kalau perlu sampai ke meja Perdana Menteri sekalipun, saya sanggup redah demi Kuala Linggi!” katanya.

Related Posts