Waze nafi dakwaan kerajaan Malaysia, tegaskan data pengguna dilindungi | The Reporter

Waze nafi dakwaan kerajaan Malaysia, tegaskan data pengguna dilindungi

Tangan memegang telefon pintar yang memaparkan logo aplikasi navigasi Waze pada skrin dengan latar belakang jalan raya.
Gambar hiasan

Aplikasi navigasi Waze menafikan dakwaan kerajaan Malaysia bahawa platform berkenaan mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, penafian itu dibuat susulan keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan ketika menjalankan tugas rasmi atas faktor keselamatan data dan kaitannya dengan Israel.

Jurucakap Waze menegaskan bahawa dakwaan berhubung pengumpulan maklumat sensitif serta kemungkinan penyalahgunaan data peribadi pengguna adalah tidak benar.

“Dakwaan bahawa Waze mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna adalah sama sekali tidak benar,” katanya.

Menurut jurucakap itu, Waze beroperasi mengikut dasar privasi yang ketat bagi melindungi maklumat pengguna selain mematuhi piawaian undang-undang perlindungan data di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, menurut AP, jurucakap berkenaan tidak mengulas lanjut mengenai kaitan syarikat itu dengan Israel.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada kemungkinan disalahgunakan oleh rejim Israel.

Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa keputusan tersebut turut mengambil kira kedudukan Waze Mobile Limited sebagai entiti yang diperbadankan di Israel dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa larangan berkenaan hanya terpakai kepada penjawat awam ketika melaksanakan urusan rasmi kerajaan.

Kerajaan sebelum ini turut menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif kepada Waze.

Sumber: Reuters, AP

Related Posts