Lim Guan Eng sifatkan aplikasi TuJu memalukan negara, gesa kerajaan dedah kos | The Reporter

Lim Guan Eng sifatkan aplikasi TuJu memalukan negara, gesa kerajaan dedah kos

Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi navigasi tempatan TUJU sebagai memalukan negara susulan dakwaan kelemahan fungsi.
Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi navigasi tempatan TUJU sebagai memalukan negara susulan dakwaan kelemahan fungsi. Gambar: Facebook Lim Guan Eng.

Pelancaran aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai alternatif kepada Waze disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan negara oleh bekas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng susulan dakwaan kelemahan dan ketidakberkesanan aplikasi berkenaan.

Menurut beliau, aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu sepatutnya menjalani penilaian menyeluruh dan ujian ketat bagi memastikan keupayaannya memenuhi keperluan pengguna sebelum diperkenalkan sebagai alternatif kepada Waze.

Guan Eng berkata, walaupun usaha kerajaan melindungi keselamatan negara mendapat sokongan, aplikasi pengganti yang diperkenalkan perlu mempunyai keupayaan teknologi setanding dengan fungsi asas navigasi jalan raya sedia ada.

“Maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi TuJu hanya akan menyusahkan pengguna.

“Saya telah menerima aduan mengenai ketidakberkesanan TuJu dan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya sebagai pengganti Waze,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berpandangan rakyat Malaysia menyokong usaha mengurangkan risiko keselamatan data yang dikaitkan dengan penggunaan Waze, namun tidak bermakna mereka bersetuju menerima aplikasi pengganti yang didakwa mempunyai pelbagai kelemahan.

Sehubungan itu, Guan Eng mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima nasihat yang tidak tepat mengenai kemampuan sebenar aplikasi berkenaan.

Kos perbelanjaan

Beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk membangunkan TUJU selain mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab memberikan keyakinan kepada Perdana Menteri mengenai keupayaan aplikasi itu.

“Datuk Seri Anwar juga harus menjelaskan kepada rakyat berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membangunkan TuJu?

“Individu yang bertanggungjawab meyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa TuJu mempunyai keupayaan teknologi yang mencukupi untuk menggantikan Waze harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan,” katanya.

Persoal khidmat nasihat pakar teknologi

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada pihak yang membangunkan aplikasi berkenaan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar teknologi di Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun.

Guan Eng turut mencadangkan supaya Perdana Menteri menilai semula perancangan pembangunan TuJu dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi aplikasi yang lebih baik dan berkesan.

Menurutnya, usaha memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara perlu disertai kemampuan menyediakan perkhidmatan teknologi yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan keupayaan JKSN dalam menangani ancaman siber yang semakin berkembang sekiranya keperluan asas pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan navigasi jalan raya yang berkesan masih belum dapat dipenuhi.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan penjawat awam atas pertimbangan keselamatan data, selain menyarankan penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu sebagai alternatif.

Related Posts