Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjalankan kegiatan sebagai ejen imigresen haram dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan menerusi platform media sosial TikTok ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Isnin lalu.
Wanita berusia 31 tahun itu ditahan dalam satu operasi khas di sebuah premis kediaman di Seksyen U15, Shah Alam, Selangor.
Menurut JIM, operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas menerima maklumat awam serta menjalankan risikan selama sebulan.
Hasil pemeriksaan di premis terbabit, pihak berkuasa menyita dua pasport Indonesia, satu set kunci kediaman, dua telefon bimbit, buku catatan pelanggan serta wang tunai RM4,000 yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan berkenaan.
Susulan soal siasat terhadap suspek, pasukan operasi turut melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di Puncak Alam sebelum menyita satu bungkusan mengandungi pasport Indonesia yang dihantar oleh pelanggan kepada wanita terbabit.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan TikTok untuk mempromosikan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen dengan menyasarkan warga Indonesia yang menetap di sekitar Lembah Klang.
Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk urusan Program Repatriasi Migran (PRM), Pas Khas serta membawa masuk dan keluar migran melalui laluan yang tidak diwartakan.
Selain itu, suspek dipercayai menawarkan khidmat mendapatkan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada Kedutaan Indonesia dengan mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM3,000 bagi setiap perkhidmatan.
Kegiatan berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa.
Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Wanita itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut.
JIM menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas bagi membanteras sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang imigresen negara demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.








